Rabu, 23 Disember 2009

Bercuti di Cyberjaya & Putrajaya


Tanggal 12 Disember 2009 jam 7.45 pagi kami sekeluarga meninggalkan pekan Parit Buntar memasuki Lebuh Raya Utara Selatan melalui plaza tol Bandar Baharu menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan tersebut kami bersarapan pagi di Hentian Sungai Perak. Selain itu kami juga berhenti rehat di Hentian Tapah dan Sungai Bernam.Tepat jam 3.00 petang kami chek in di Cyberview Lodge Resort & Spa di Cyberjaya. Terima kasih kepada Pn Kamariah yang menguruskan penginapan kami di sini.

Makan Satay Kajang




Kepada kawan-kawan yang berkunjung ke Putrajaya, adalah amat merugikan jika tidak menikmati satay Haji Samuri di Kajang. Ketika saya berkunjung ke sana memang lautan manusia yang ada. Kami terpaksa beratur panjang untuk memesan satay. Selain itu kami juga menghadapi masalah untuk mencari tempat duduk. Hampir 15 minit menunggu barulah ada tempat yang boleh memuatkan 8 orang. Maklumlah ketika itu malam minggu. Satay di sini memang sedap.....


Pergi ke KLCC


Di samping itu kami juga melawat ke KLCC yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara kita. Memang ramai orang yang berkunjung ke sini. Pada mulanya kami merencanakan ingin melawat ke Petrosains di tingkat 4. Malangnya hari tu ramai sangat orang yang beratur untuk membeli tiket. Memandangkan anak-anak kami pun dah 2 kali menyertai lawatan ke Petrosains bersama guru di sekolah kami pun membatalkan program ke sana. Setelah penat round2 kat kedai-kedai di sini kami pun lepak di kedai buku Kinokuniya.

Window Shopping di Nilai 3


Ketika di sini saya sekeluarga juga berpeluang "window shopping" di Nilai 3 dengan ditemani adik dan anak buah. Memang rambang mata dibuatnya ketika berada di sini. Apa tidaknya semuanya yang kita inginkan ada di sini. Macam-macam ada...dari kain baju, perhiasan rumah, barangan perkahwinan, carpet,aksesori kereta, bunga-bungaan dan sebagainya. Bak kata kakak saya, "kalau mai ke sini bawa wang sekarung pun boleh habis."


Lepak di Putrajaya


Setelah penat meronda di sekitar Taman Botani & Masjid Putrajaya kami juga menjengah ke pusat membeli belah yang terkenal di sana iaitu Alamanda. Memang cantik laluan untuk ke pintu masuk. Rumpun buluh yang ditanam di sini secara berjajar memang mendamaikan suasana. "Layout"
kedai-kedai di sini juga amat cantik dan menarik seperti di AEON Jusco Bandar Perda.


Bersantai di Central Market


Setelah lebih kurang 12 tahun meninggalkan Kuala Lumpur inilah kali pertama kami sekeluarga berpeluang bersantai di Central Market. Selalunya kalau turun ke KL kami tidak berkesempatan datang ke sini. Sebenarnya CM ni memang tidak asing bagi saya & suami. Belasan tahun yang lalu kami pernah bermastautin dan bertugas di Kota Metropolitan ini. Banyak perubahan yang berlaku di sini seiring dengan perubahan masa.

Bermain Dengan Burung & Arnab



Di perkarangan Central Market juga sempena cuti sekolah ni terdapat pertunjukan haiwan iaitu burung enggang, burung hantu, burung nuri dan arnab yang dibawa dari Kuala Lumpur Bird Park. Memang seronok melihat anak-anak bermain dengan haiwan2 tersebut.




Bermain Puzzle di Pasar Seni


Ketika di Pasar Seni, anak-anak saya juga menyertai permainan puzzle yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara. Tidak sampai 5 minit mereka telah berjaya menyelesaikan puzzle tersebut. Sebagai ganjaran mereka telah diberikan buku 1 Malaysia, sekotak pensel warna dan sebatang pensel. Selain itu mereka juga dipelawa agar menyertai pertandingan mewarna poster. Malangnya kerana kesuntukan masa mereka tidak dapat menyertai pertandingan tersebut. Terima kasih kepada Balai Seni Lukis Negara kerana mengisi masa lapang kanak-kanak dengan aktiviti yang berfaedah.

Meneruskan Percutian ke Cameron Highlands


Cameron Highlands merupakan destinasi percutian yang amat saya gemari. Rasa-rasanya semua hotel kat pekan Brincang tu kami dah pernah chek in. Saya amat sukakan udaranya yang segar dan nyaman. Setiap tahun kami pasti mengunjungi CH. Kami sekeluarga juga amat suka akan aiskrim strawberi di Raju's Hill dan di Strawberry Farm memang best.....

Jumaat, 4 Disember 2009

Cuti Sekolah Datang Lagi

Alhamdulillah dah masuk minggu kedua cuti sekolah berlangsung. Tentu para ibu, sibuk melayan kerenah anak-anak semasa cuti ini. Saya juga tidak terkecuali sebagai seorang ibu. Oh ye, dah lama rasanya saya tidak berpeluang menulis di blog ni. Kawan-kawan dan anak-anak pun komplen sebab tak bertambah. Pada mulanya kami sekeluarga ingin bercuti ke Jakarta, Bandung dan Punchak awal Disember ni tetapi tak menjadi, sebab menurut agensi pelancongan mereka terpaksa membekukan kunjungan ke sana kerana takut "kena sapu & kena ganyang."
Kemudian kami ubahala pula booking ke Phuket. Malangnya hajat ke sana juga tidak kesampaian kerana hanya 15 orang yang mendaftar ingin pergi. Jadi travel agensi tidak mahu rugi. ...so dia orang pun cancellah trip ke sana. Kami sekeluarga pun cuti-cuti lah dalam Malaysia. Insyaallah pada minggu hadapan kami akan bercuti ke Kuala Lumpur & Cameron Highlands. Sebenarnya kedua-dua lokasi ni dah banyak kali kami pergi.

Resipi Ulam-Ulaman

Pada waktu cuti sekolah ni, ramai para ibu yang tidak kering tangan asyik memasak. Dari bangun pagi buat breakfast, lunch, hi-tea sehinggalah ke dinner. Apa kata anda semua mencuba resipi yang saya cadangkan di sini. Semua resipi yang saya muatkan di sini adalah resipi turun temurun secara lisan yang diperoleh daripada ahli keluarga dan kawan-kawan serta melalui pembacaan saya di dalam pelbagai majalah dan buku resipi. Selamat mencuba.

Rabu, 2 Disember 2009

Kerabu Mangga








Bahan-bahan

3 biji mangga muda
20 biji cili padi
2 biji bawang merah
1/2 inci belacan
2 genggam udang geragau
Garam & gula secukup rasa


Cara membuat:
1. Cincang halus-halus mangga secara memanjang.
2. Hiris nipis bawang merah.
3. Tumbuk cili padi bersama belacan.
4. Gaulkan cili yang ditumbuk ke dalam hirisan mangga dan bawang merah.
5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Sedia untuk dihidang.

Ulam-Ulaman & Sambal belacan



Bahan-bahan
Daun ulam raja
Daun Pegaga
Daun Selom
Petai, Jering
Jantung pisang (direbus & dibelah 4)
Peria (direbus & dibelah 2)

Bahan Sambal BelacanGaram & gula secukup rasa

Cara Membuat:
1. Cili padi, cili besar, bawang merah, bawang putih, belacan, garam & gula hendaklah ditumbuk halus.
2. Masukkan air perahan limau nipis dan air asam jawa.
3. Hidangkan bersama ulam-ulaman.

Kerabu Daun Selom


Bahan -bahan

300 gm daun selom (dipotong 2 cm pjg)
20 biji cili padi-hijau & merah
100 gm taugeh (dibuang ekor)
3 cm belacan- dibakar
3 biji bawang besar (dihiris nipis)
2 genggam udang geraggau- digoreng tanpa minyak
100 gm kelapa parut (digoreng tanpa minyak)
1/2 cawan air limau nipis
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuat:

1. Goreng kelapa parut sehingga perang & dibiarkan sejuk.
2. Tumbuk cili padi dan belacan sehingga lumat.
3. Masukkan hirisan daun selom, tauge, kelapa parut, udang geragau dan cili padi yang telah ditumbuk. Gaul hingga sebati.
4. Akhir sekali masukkan garam, gula serta air limau nipis. Gaulkan.

Pucuk Ubi Masak Lemak


Bahan-Bahan
400 gm pucuk ubi kayu dicelur
500 ml santan cair
100 ml santan pekat
4 ulas bawang merah dikisar
10 biji cili padi dikisar
2 cm belacan
50 gm ikan bilis dibuang kepala
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuat:
1. Celur pucuk ubi kayu hingga empuk.
2. Bawang merah, cili padi & belacan ditumbuk halus.
3. Masukkan bahan yang telah ditumbuk tadi ke dalam santan cair dan jerang hingga mendidih.
4. Masukkan ikan bilis, pucuk ubi & santan pekat serta tambahkan gula dan garam secukup rasa.
Masak hingga mendidih & hidangkan panas-panas.

Asam Rebus Keladi


Bahan-bahan
1 kg keladi (dibuang kulit dan dipotong 2 inci)
20 biji cili padi dikisar
3 cm belacan
1 mangkuk air
3 biji bawang besar dikisar
2 kuntum bunga kantan
1 ikat daun kesum
200 gm udang kertas
3 keping asam gelugor
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuat:
1. Kisar bawang merah dan cili padi sehingga lumat.
2. Masukkan air dan cili kisar ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.
3. Kemudian masukkan keladi & masak hingga empuk.
4. Masukkan udang, daun kesum & bunga kantan.
5. Tambahkan garam & gula secukup rasa. Tunggu hingga mendidih & hidangkan.

Terung Pipit Berlada


Bahan-bahan

400 gm terung pipit dibuang tangkainya
200 gm ikan bilis digoreng garing
100 gm cili padi dikisar
3 ulas bawang merah dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
3 cm belacan dikisar
5 sudu besar minyak masak.

Cara membuat:
1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Toskan.
2. Goreng terung pipit hingga separuh masak. Toskan.
3. Panaskan minyak dan masukkan bahan yang telah dikisar & tumis sehingga garing.
4. Tambahkan garam & gula secukup rasa. Kemudian masukkan ikan bilis dan terung pipit yang telah digoreng tadi.
5. Hidangkan .

Kailan Ikan Masin


Bahan-bahan

200 gm ikan masin tenggiri (dipotong dadu)
6 ulas bawang putih ditumbuk
500 gm baby kailan
1 sudu minyak masak
2 sudu sos tiram
2 sudu kicap cair
1 sudu tepung jagung dicampurkan 2 sudu air
Garam & gula secukup rasa

Cara membuat:
1. Kailan dibelah dua dan dicelur ke dalam air mendidih selama 5 minit.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga keperang-perangan.
3. Masukkan ikan masin yang dipotong dadu.
4. Kemudian masukkan sos tiram, kicap dan tepung jagung dan kacau.
5. Seterusnya masukkan kailan, garam dan gula secukup rasa.
6. Hidang semasa masih panas.

Masak Lemak Labu Manis


Bahan-bahan

400 gm labu manis dipotong kiub
500 ml santan cair
100 ml santan pekat
4 ulas bawang merah dihiris nipis
150 gm isi udang
2 biji cili merah dipotong serong
1 helai daun kunyit dihiris nipis
Garam dan gula secukup rasa.

Cara membuat:
1. Jerang santan cair bersama bawang merah dan isi udang.
2. Masukkan labu, masak hingga empuk.
3. Masukkan santan pekat, cili merah, daun kunyit dan kacau.
4. Tambah garam dan gula secukupnya. Angkat dan hidangkan

Pajeri Terung


Bahan-bahan

600 gm terung panjang dibelah dua
10 ml air
3 sudu besar minyak masak
2 kuntum bunga cengkih
4 cm kulit kayu manis
6 ulas bawang merah dihiris halus
2 cm halia dihiris halus
2 sudu besar udang kering -direndam dan ditumbuk
4 sudu besar rempah kari daging-dicampur air utk dijadikan pes
2 sudu besar kerisik
800 ml santan pekat
Gula dan garam secukup rasa.

Cara membuat:
1. Panaskan kuali. Tumiskan semua bahan yg dihiris, kulit kayu manis, bunga cengkih dan halia
sehingga naik bau.
2. Masukkan udang kering yg ditumbuk dan pes rempah kari. Kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan terung dan santan. kacau hingga mendidih.
4. Akhir sekali masukkan kerisik, garam serta gula secukup rasa.

Asam Pedas Ikan Parang


Bahan- bahan

1 kg ikan parang
30 biji cili kering direndam air panas
6 biji cili merah
3 cm halia
6 ulas bawang putih
300 gm kacang bendi
2 biji terung bulat
2 batang bunga kantan
1 ikat daun kesum
Sedikit asam jawa
800 ml air
4 sudu besar minyak masak
Sedikit belacan
Garam & gula secukup rasa

Cara Membuat:
1. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan dan halia.
2. Hiris bunga kantan.
3. Bancuh asam jawa dengan air sat mangkuk kecil.
4. Tumis cili tadi dengan minyak sehingga masak. Kemudian masukkan air asam jawa dan masak hingga mendidih.
5. Masukkan bendi, terung dan ikan parang. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
6. Akhir sekali masukkan daun kesum dan bunga kantan. Tunggu hingga mendidih.
7. Kemudian hidangkan.